Cinta? Ada Apa Dengan Cinta?

Zaman remaja adalah zaman untuk mencari dan mengenal diri. Setelah
akal semakin mampu untuk berfikir jauh. Sekurang-kurangnya sudah
mengenal mana baik dan buruk, halal dan haram, najis dan yang suci,
syurga dan neraka.

Umur sebegini, orang muda cenderung untuk hidup di dalam perkumpulan.
Gemar juga untuk mencari penyelesaian di luar rumah dibandingkan
dengan berbincang dengan ibu dan ayah. Dan ketika inilah jiwa sudah
menyubur untuk mengenal apa itu cinta (berlainan jenis).

Mengapa bercinta?

Terkadang bercinta dengan sebab ikut-ikutan (kerana melihat kawan
sedang 'bahagia'). Terkadang ia bercinta supaya 'pointer' selalu
meningkat naik. Dan katanya agar ada teman yang dapat memberi nasihat.
Alamat.. jika salah bercinta, bubur tidak akan kembali menjadi nasi..

Sebelum bercinta fikirkan perkara-perkara ini wahai orang muda :

1. Sudahkah anda bersedia untuk bercinta?

Adakah sudah bersedia menghadapi risiko di dalam percintaan? Adat
orang mengatakan cinta itu bersatu, dan ada kalanya ia membutakan
mata. Manakala yang tidak nampak jalannya habis hancur masa depan
hidupnya.

Cinta tidak semestinya bersatu, ada kalanya ia terputus di tengah
jalan. Dan ada kalanya ia berjaya sehingga ke jinjang pelamin. Risiko
putus cinta selalu membuatkan manusia seolah-olah putus asa. Hilang
hala tuju hidupnya. Entah berapa ramai yang sudah menamatkan nyawanya
sendiri bila cinta nafsu lebih diharapkan dari cinta kepada Illahi.

2. Apa matlamat Anda bercinta?

* Mungkin untuk merosakkan anak gadis atau hati orang lain?
* Ikut-ikutan atau suka-suka sahaja?
* Untuk mencari pengganti pasangan yang telah pergi? (tetapi
sekiranya ia ingin kembali semula suatu hari nanti, anda dengan rela
diri meninggalkan pasangan baru anda yang telah diberikan harapan?
* Sekadar cinta monyet yang tiada matlamat di masa hadapan?
* Untuk mendirikan rumah tangga yang membawa kasih sayang dan
rahmat dari ALLah?

Orang yang mulanya bercinta - hatinya akan berbunga-bunga. Tidak ia
sedar apa yang berlaku di sekelilingnya kerana disibukkan dengan apa
yang dicintainya. Segalanya nampak cantik, molek, comel dan sempurna
belaka. 'Pijak semut tidak mati'. Segalanya berjalan dengan penuh
optimis dan positif. Lalu mungkin 'menipu diri sendiri' sudah menjadi
pegangan agar hubungan berlangsung dengan menarik dan dapat dikekalkan.

Apabila perhubungan cinta anda mulai 'berkelap kelip' - mulalah anda
akan berfikir semula akan buruk dan baiknya pasangan anda. Mungkin
ketika ini anda akan berusaha mencari solusi. Sekiranya berjaya
perhubungan anda akan berjalan seperti biasa. Dan sekiranya dalam
bahaya, ia akan membawa kepada 'putus cinta'. Perkataan inilah yang
menjadi penghancur jiwa, rasa kecewa, terhina, rendah diri, sakit
hati, dendam, putus asa. Maka istilah-istilah cinta yang dahulunya
berkisarkan fantasi, anda akan sedar ia bukanlah realiti.

Menjadi hipokrit satu perkara, iaitu masalah yang akan dibawa apabila
hidup di dalam sebuah rumah di atas pernikahan yang sah.
Segala-galanya yang 'cantik', 'molek' akan ditunjukkan juga sebagai
satu hakikat yang perlu anda terima. Samada anda terima dengan
terpaksa atau redha selamanya.

3. Mengapa Anda Bercinta?

* Kerana ALLah?
* Kerana cantik rupanya? Mancung hidung, kumisnya tebal? Badannya
serupa model? - yang pasti semuanya ini tidak kekal lama. Berapa ramai
wanita yang menghidapi sakit barah kulit kerana taksubnya kepada yang
dinamakan 'KECANTIKAN' ? Berapa ramai pula yang sanggup berhutang,
mengorbankan identiti seorang Muslimah dan Muslim kerana tertarik
dengan namanya KEMODENAN?
* Kerana duitnya? Harta yang bertimbun?
* Kerana empunya diri itu sendiri?
* Kerana Agamanya? Ia akan di bawa di dunia dan akhirat. Tetapi
ramai juga yang terjerumus di lembah hina. Kerana yang dibawa rupanya
selama ini adalah nafsu tetapi disolek dengan nama Agama.

Anda akan dapat apa yang anda niatkan. Ingat perjalanan cinta sesama
manusia amat jauh, dan mungkin juga dekat, ataupun ia satu perjalanan
yang tidak pasti.

4. Apa Modal Untuk Bercinta?

* Adakah dengan modal air liur? Atau jari jemari menulis sms?

Sedarkah anda? apabila bercinta dan anda meletakkan sesuatu di dalam
hati seseorang. Ini telah memberikan ia pengharapan baru dalam
hidupnya. Dan ia akan berusaha untuk mencapainya. Jika cinta anda
sekadar cinta monyet, cinta untuk merosakkan anak orang, ikut-ikutan
dan hanya menjadikan orang lain sebagai batu galas - CINTA NAFSU.
Eloklah lupakan sahaja. Anda hanya akan menjadikan diri anda sendiri
bahan fitnah yang akan orang ingat sampai bila-bila.

Sedarkah anda? Mahligai perkahwinan itu memerlukan pengorbanan bukan
sahaja dari segi jari jemari dan air liur. Tetapi lebih dari itu
adalah modal ilmu untuk mendirikan sebuah keluarga yang beragama,
cintakan ALLah dan rasul-Nya. Modal harta iaitu pekerjaan dari sumber
rezeki yang halal untuk anda berikan kepada isteri, dan anak-anak.
Modal hati dan perasaan untuk dikongsi, difahami, kesabaran dan
sebagainya.

5. Berapa Lama Anda Ingin Bercinta?

* Seminggu?
* Sebulan?
* Tiga, empat tahun?
* Sehingga habis belajar?
* Cinta hingga ke akhirat?

Apabila anda bercinta, setiap pasangan pastinya ingin mengetahui
sampai bilakah mereka akan bercinta? Dan apabila perhubungan itu
diketahui oleh sang ibu dan ayah, tentunya mereka akan bertanya bila
pula tarikh merisik, pertunangan dan perkahwinan pula akan dijalankan?
Dan tentunya kaum kerabat pula akan tertanya-tanya, dengan siapa anda
berkawan. Mungkin ada yang sudah diusung ke hulu dan hilir - orang
kampung pun sudah mulai berbisikan. Walaupun anda sangkakan di bandar
orang bersikap tidak ambil peduli. Tetapi malaikat di kiri dan kanan
tetap juga menulis catatan..

6. Kos Cinta

* Duit yang anda habiskan semata-mata untuk sidia - telefon (sms,
mms, chat etc), bil elektrik, bil internet,
* Masa yang anda korbankan untuk sidia
* Hati dan perasaan

Sikap Matang Dalam Mencari Cinta

Wahai pemuda dan pemudi, menyebut perkataan cinta sesama manusia itu
mudah, tetapi untuk melaksanakannya amatlah payah. Bercinta bukan
menjadi tiket yang menghalalkan anda menyerahkan jasad kehormatan
anda. Bukan juga bermakna anda sudah menjadi juara dan normal
sebagaimana insan lain yang bercinta (sudah fahamkah erti cinta yang
sebenarnya?) . Anda rosak kerana cinta? - ia adalah kesalahan anda
sendiri di dalam menterjemahkan cinta yang suci dan abadi. Semaklah
semula adatnya bagaimana RasuluLlah menyalurkan perasaan cinta.

Jika berbaloi dengan bercinta - anda dapat merasai hidup bahagia serta
mendapat keredhaan ALlah kerana matlamat anda jelas, anda sedia redha
dengan kemungkinan yang berlaku serta tidak menyalahkan taqdir,
perjalanan cinta tidak melanggar batas syarak. Maka silalah untuk
bercinta.

Fikirkan.. Dalam masa bercinta, bagaimana hubungan kita dengan ALlah
dan manusia serta makhluk yang lain? Semakin baik ataupun semakin jauh
dan terus menjurang. Adakah ia menjadikan kita hamba ALlah yang
bertaqwa ataupun hamba ALlah yang derhaka?

Comments